Followers

Wednesday, March 30, 2011

Memori


Secara umumnya, memori atau ingatan anda terbahagi kepada dua iaitu memori jangka masa pendek dan memori jangka masa panjang.

Memori jangka masa pendek adalah sesuatu yang anda ingat dalam jangka masa yang singkat. Contohnya, jika anda berkenalan dengan seorang kawan baru, setelah beliau memperkenalkan nama beliau, belum sampai beberapa jam pun anda sudah lupa nama tersebut. Sama juga seperti semasa anda belajar di dalam kelas. Katakan cikgu anda mengajar subjek sejarah hari ini. Anda rasa anda faham apa yang cikgu anda ajarkan. Tetapi, esok atau 2 hari selepas itu, anda sudah lupa apa yang cikgu ajarkan tadi. Kadang-kadang, anda rasa macam anda tidak pernah dengar tentang apa yang diajarkan itu. Pelik bukan? Tidak pelik sebenarnya. Itu menunjukkan bahawa apa yang anda pelajari itu cuma singgah di memori jangka masa pendek anda sahaja.

Memori jangka masa panjang pula ialah sesuatu yang anda boleh ingat dalam jangka masa yang lama. Contohnya, anda ingat nama kawan baik anda bukan? Pernahkah anda satu hari datang ke sekolah dan lupa apa nama kawan baik anda itu? Sudah tentu tidak pernah (melainkan anda menghidap penyakit lupa).

Jika anda mahu mengingat apa yang anda pelajari supaya anda boleh jawab soalan peperiksaan dengan baik, anda perlu tahu bagaimana caranya untuk memindahkan maklumat dalam memori jangka masa pendek anda ke memori jangka masa panjang. Jika selama ini anda rasa anda mudah lupa apa yang anda pelajari, ia tidak bermaksud daya ingatan anda lemah. Ia tidak bermaksud otak anda lembab atau anda seorang yang bodoh. Ia cuma bermaksud anda belum mahir dalam teknik untuk memindahkan maklumat daripada memori jangka masa pendek ke memori jangka masa panjang. Setelah anda kuasai teknik-teknik ini nanti, anda akan rasa lebih mudah mengingat atau menghafal apa yang telah anda pelajari.

Mengapa fakta yang anda pelajari cuma singgah di memori jangka masa pendek sahaja? Satu sebab utamanya ialah anda tidak melakukan usaha memindahkan fakta ke memori jangka masa panjang dengan sengaja. Apa yang saya ingin katakan di sini ialah, jika anda pelajari sesuatu yang baru, fakta itu tidak akan masuk ke memori jangka masa panjang dengan sendirinya. Anda perlu lakukan sesuatu dengan sengaja untuk memindahkannya.

Contohnya, katakan Ustaz anda baru mengajar lima rukun Islam. Dengan sekali mendengarnya sahaja, fakta itu cuma akan berada di memori jangka masa pendek anda. Anda mungkin akan lupa kesemuanya pada keesokan harinya. Satu cara yang anda boleh lakukan untuk memindahkannya ke memori jangka masa panjang ialah dengan membaca dengan kuat kelima-lima rukun Islam itu berulang-ulang kali.

Pengulangan adalah salah satu teknik berkesan untuk memindahkan fakta ke memori jangka masa panjang. Jadi anda perlu ingat, tanpa membaca semula apa yang anda pelajari, anda tidak akan dapat ingat dalam apa yang anda pelajari hingga ke hari peperiksaan. Namun, berkenaan perkara ini, ada satu soalan popular yang sering diajukan kepada saya.

Soalannya ialah, kenapa ada sesetengah pelajar boleh ingat dengan mudah apa yang dipelajari walaupun mereka hanya mendengar sekali sahaja? Jawapannya ialah, cara pelajar ini mendengar tidak sama dengan cara pelajar biasa mendengar. Maksudnya, pelajar ini mempunyai teknik mereka sendiri semasa mendengar apa yang diajarkan oleh guru di depan kelas.

Contohnya, apabila mereka mendengar cikgu bercerita tentang pencemaran sungai, fikiran mereka akan aktif menukarkan apa yang mereka dengar kepada bentuk gambar. Mereka seolah-olah dapat melihatrupa sungai- sungai yang tercemar dan apa yang menyebabkannya. Kita lebih mudah ingat gambar, jadi pelajar ini terus dapat mengingat apa yang diterangkan oleh guru mereka tentang pencemaran sungai tadi.

No comments:

Post a Comment

t