Adat orang berniaga, pasti ada rugi, pasti
juga ada untungnya. Namun jika rugi, bukan alasan untuk kita mengeluh
kepada Allah, akan tetapi sentiasalah berdoa agar kita sentiasa
diperbanyakkan rezeki dari Allah. Kisah yang berkisarkan tentang penjual tempe ini,
wajahnya sedih kerana tempe yang dibuat langsung tidak menjadi, dan tidak laku
ketika dijual di pasar. Memang secara logiknya, memang tiada siapa yang akan
membeli tempe yang belum siap dimasak bukan. Jom ikuti bagaimana pengakhiran
kisah ini dan semoga kisah ini dapat memupuk perasaan sentiasa bersyukur atas
ketentuan yang Allah dan tentukan untuk kita.
Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di
situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah
membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya
sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe
yang dibuatnya sendiri.
Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau
sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang
tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi,
separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak.
Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum
masak lagi.
Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe
yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada
hari itu.Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah
teringat akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan
perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil.
Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil
berdoa , “Tuhan , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe.
Amin“
Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan
sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan
tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung
jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban
kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu
masih tetap kacang soya.
Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir
mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua
tangannya semula dan berdoa lagi. “Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil
bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata
pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin”.
Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali
lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan
apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi
sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas
doanya yang belum terkabul.
Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat
tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu.
Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar
sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan
masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa perjalanannya
ke pasar.
Sebelum keluar dari rumah, dia sempat
mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. “Tuhan, aku percaya, Engkau akan
mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah
keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun berangkat. Di
sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.
Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan
barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah
menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia punmembuka bakulnya dan
menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.Perlahan-lahan dia
membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi?
Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas
dalam-dalam.
Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa
dan putus asa kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan
tidak adil.Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya,
hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang
jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang
baru separuh menjadi.
Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar
sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.Dia meninjau-ninjau
kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia
tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada
hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya
masih menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya.
Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia
tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali
terakhir, “Tuhan, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum
menjadi ini.”
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran
seorang wanita. “Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual
tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk
mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.”
Dia termenung dan terpinga-pinga seketika.
Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang
pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan
wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya” Tuhan, saat
ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula,
Amin”.
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia
membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang
benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan
bersyukur pada Tuhan. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang
belum menjadi itu.
Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya
wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?” Wanita itu
menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe
dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi
kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England
nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah
menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang
sedap.
Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir
rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…
Kita sering memaksakan kehendak kita kepada
Allah s.w.t sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Allah s.w.t lebih mengetahui apa
yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.
Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan
seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa
terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Allah s.w.t akan mengabulkan doa
kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.
No comments:
Post a Comment